27 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberikan tempoh 100 hari kepada 31 menteri dan 38 timbalan menteri untuk membuktikan keupayaan masing-masing.
Berikutan itu Ismail Sabri menegaskan, beliau secara peribadi akan memastikan Kabinetnya akan menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.
Perdana Menteri berkata beliau juga akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
“Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya dalam ucapan sempena pengumuman senarai anggota Kabinetnya di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Beliau berkata bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa; bertanggungjawab dan amanah; mengembalikan semula keyakinan rakyat.
Perdana Menteri berkata perkara itu adalah selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.
“Sesungguhnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.
“Sehubungan itu, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan
komited dan lebih proaktif.
“Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata Barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.
“Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik
COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.
“Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI