27 OGOS: Datuk Seri Wee Ka Siong berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan beberapa perkara tertangguh, selepas dilantik semula menerajui Kementerian Pengangkutan.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, berkata antara lain beliau ingin mengutamakan aspek pergerakan barangan kepada rakyat tidak terbantut, selari usaha ke arah pemulihan ekonomi negara berikutan pandemik COVID-19.
Beliau berkata antara perancangannya ialah program pembangunan membabitkan sektor pengangkutan darat, udara dan maritim yang akan diberikan keutamaan.
“Tahniah juga kepada rakan Kabinet atas pelantikan masing-masing yang akan mengangkat sumpah pada Isnin ini.
“Saya yakin kita dapat meningkatkan usaha membendung penularan pandemik COVID-19 dan menjadikan ia sebagai keutamaan, selain memberi fokus dalam pelbagai aspek bagi meneruskan kelangsungan hidup rakyat serta memulihkan ekonomi negara.
“Ia seiring ungkapan Perdana Menteri sebelum ini yang menggunakan frasa ‘Keluarga Malaysia’ dengan membawa semangat bersatu padu bagi melakukan khidmat terbaik untuk rakyat.
“Sehubungan itu, jurang politik perlu dirapatkan demi memastikan strategi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat berjalan lancar dan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan pelantikan semula sebagai Menteri Kewangan, dalam Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah amanah yang sangat besar.
Tengku Zafrul berkata beliau bersama pasukan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.
“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, di atas kepercayaan beliau melantik saya sebagai Menteri Kewangan.
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya.
“Kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya,” katanya memetik Hadis Riwayat Bukhari.