27 OGOS : Polemik nama kerajaan baharu tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan hari ini terbentuk hasil kesepakatan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) , Dr Afif Bahardin berharap agar isu nama kerajaan baharu ini tidak dijadikan polemik politik oleh pihak tertentu untuk mengeruh suasana.
“Sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional( BN), apa yang penting ialah fokus kerajaan hari ini ialah untuk menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Sepatutnya setelah kerajaan dibentuk, kita semua perlu fokus kepada masalah rakyat dan memastikan kita dapat keluar daripada pandemik COVID-19 ini, sekarang bukan masanya untuk berpolemik dan bermain politik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di Pulau Pinang, hari ini.
Bagaimanapun beliau berpandangan bahawa
kerajaan yang diterajui oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merupakan kerajaan PN.
Ini kerana menurutnya, sokongan Ahli Parlimen dari pelbagai parti termasuk BERSATU masih kekal sepertimana sokongan yang diperolehi Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
“Cuma kerajaan baharu hari ini Perdana Menteri datang dari BN namun sokongan 114 Ahli Parlimen termasuk daripada ahli Parlimen BERSATU terus kekal seperti sebelum ini.
“Sebab itu pada pandangan saya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seorang Perdana Menteri dari kerajaan PN,” jelasnya.
Pada masa sama, Afif turut berharap semua program dan usaha bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat diteruskan dan ditambah baik oleh Perdana Menteri baharu.
“Keutamaan kerajaan baharu ini tentunya akan memberi lebih tumpuan kepada masalah rakyat, memulihkan kembali ekonomi negara dan memastikan kita dapat keluar dari pandemik ini,” katanya.