28 OGOS : Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, dilaporkan meninggal dunia di hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras, akibat komplikasi Covid-19 pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi hantaran terbaharunya di Facebook miliknya sebentar tadi.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi.
“Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” ujarnya.
Menurut Zuki lagi, Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.
Ahmad Sarji menjadi Ketua Setiausaha Negara ketika pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga merupakan pengasas IKIM dan dilantik menjadi pengerusi yang pertama pada 1992.
Ahmad Sarji dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras pada 7 Ogos lalu ekoran komplikasi jangkitan COVID-19.