28 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada atlet kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin, yang menghadiahkan pingat emas pertama buat negara pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Bonnie, 22, telah merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 228kg menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (183).
Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Sarawak itu turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227kg, dengan angkatan 228kg.
“Kejayaan Bonnie adalah kejayaan yang amat bermakna kepada kontinjen Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada rakan-rakan atlet untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan terbesar sukan paralimpik.
“Pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” kata baginda berdua dalam satu kenyataan disiarkan menerusi laman Facebook Istana Negara sebentar tadi.
Baginda berdua juga berharap kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di Malaysia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang,” jelas kenyataan itu lagi.