28 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan tindakannya tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri dalam pengumuman anggota Kabinet semalam bukan satu perkara pelik atau luar biasa.
Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini pun tidak mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri di peringkat awal pentadbirannya.
“Tan Sri Muhyiddin pun tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri pada mulanya, tetapi Timbalan Perdana Menteri dilantik kemudian. Saya juga tidak mengumumkannya, semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Latihan Angkatan Bersenjata Eksesais Para Predator di Kampung Batu Boh, Bera, Pahang hari ini.
Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Ditanya sama beliau akan melantik individu tertentu mengisi kekosongan jawatan itu, Ismail Sabri memberikan jawapan ringkas dengan mengatakan bahawa beliau tidak pasti.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, satu kajian sedang dilakukan untuk menawarkan skim pencen pro-rata kepada semua pegawai dan anggota tentera yang bersara awal.
“Kajian komprehensif sedang dilakukan untuk membantu tentera yang bersara awal untuk membolehkan mereka terus menyara keluarga setelah mengakhiri perkhidmatan. Kami berharap dapat menawarkan skim yang sesuai untuk mereka yang bersara lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini, kebajikan bekas pegawai dan anggota ATM diuruskan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEVATM) dan mereka tidak menerima pencen jika sebelum cukup tempoh ditetapkan.
“Mungkin setelah kertas kerja selesai, menteri baru (Menteri Pertahanan Kanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein) akan membawa perkara ini untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Perdana Menteri juga mengesahkan bahawa kerajaan akan menambahbaik aset ATM supaya mencukupi dan memenuhi keperluan terkini dan selari dengan perkembangan teknologi.
Beliau berkata, perkara itu antara aspek yang diberi perhatian utama oleh Kementerian Pertahanan dalam memastikan kesiapsiagaan negara berada di tahap yang terbaik dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.
“Dari segi persenjataan ada evolusinya, teknologi sentiasa berubah, jadi sebab itu kita perlu tambah baik aset dari masa ke masa dan perkara itu sedang dilakukan oleh pihak kementerian,” katanya.