29 OGOS: Tuduhan bahawa terdapat EXCO dalam kalangan komponen Perikatan Nasional (PN) Perak melakukan sabotaj terhadap usaha kerajaan negeri menangani COVID-19 langsung tidak berasas.
Perkara itu ditegaskan oleh Pesuruhjaya PAS, Razman Zakaria memaklumkan desakan seperti itu merupakan sebahagian tugas pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, pihak tidak mahu melayan desakan pembangkang yang mahukan seorang EXCO daripada parti itu meletakkan jawatan ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada minggu lalu.
“Tiada (sabotaj). Kita memang ada dalam kerajaan, jadi usaha menangani pandemik COVID-19 ini tanggungjawab bersama bukan sahaja kakitangan kerajaan, EXCO dan sebagainya, orang awam pun terlibat sama.
“Kalau mengatakan ada kakitangan kerajaan, EXCO yang berbuat demikian memang tugas pembangkanglah. Dia tak ada isu dia buat macam itu.
“Memang tak ada, operasi pusat vaksin pun berjalan seperti biasa,” katanya kepada media selepas Program Sumbangan Mangsa Banjir Parlimen Bagan Serai Secara Pandu Lalu oleh Pas Kawasan Bagan Serai di Surau Al-Ansar Alor Pongsu, Pulau Pinang, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhamad Arafat Varisai Mahamad bahawa terdapat exco kerajaan negeri dari PN yang mensabotaj usaha menangani COVID-19 oleh kerajaan Perak.
Mengenai kritikan dan desakan letak jawatan oleh pembangkang terhadap Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin memaklumkan Razman yang merupakan seorang ADUN Pas itu perlu menjalankan tugasnya dengan baik.
“Usaha menangani COVID-19 di Perak dipengerusikan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim manakala Exco Kesihatan hanya sebahagian daripada jawatankuasa.
“Pembangkang tidak memahami struktur pentadbiran bagi menangani COVID-19 malah dakwaan exco berkenaan tidak turun padang langsung juga tidak berasas kerana prosedur operasi standard (SOP) ketika ini tidak membenarkan sesuatu lawatan disertai ramai individu.