29 OGOS: Peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Lembah Klang akan diputuskan dalam masa terdekat memandangkan kadar vaksinasinya sudah melebihi keperluan imuniti kelompok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu akan dibincangkan sebaik mesyuarat Kabinet dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 diadakan.
“Dos pertama membabitkan sebanyak 6,824,193 dos, iaitu bersamaan 110.7 peratus melebihi penduduk Kuala Lumpur ini. Bagi dos kedua iaitu dos lengkap, seramai 5,518,094 iaitu 89.5 peratus sudah menerimanya.
“Kalau sudah 89.5 peratus, mungkin boleh berpindah ke fasa seterusnya kerana dari segi vaksin sudah melebihi keperluan imuniti kelompok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemberian vaksin AstraZeneca dos ke sejuta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri Yaakob turut mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.
Negeri berkenaan ialah Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya tumpuan diberikan kepada enam negeri ini.
“Saya mahu menjelang hujung September ini, keenam-enam negeri ini mesti melebihi 50 peratus kadar vaksinasinya. Kalau awal, lagi bagus,” katanya.