29 OGOS: Sebanyak 285 kes kematian COVID-16 dilaporkan hari ini dengan Selangor terus menjadi penyumbang tertinggi iaitu 110 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia diikuti Johor sebanyak 50 kes dan Sabah (46), Kuala Lumpur (22), Pulau Pinang (16), Perak (8), masing-masing tujuh kes di Terengganu dan Kelantan, Kedah (5), masing-masing empat di Negeri Sembilan dan Pahang serta masing-masing dua kes di Perlis, Melaka dan Sarawak.
“Kematian melibatkan 148 lelaki dan 137 perempuan dengan 45 warga asing manakala 51 orang termasuk 21 warga asing adalah mereka yang meninggal dunia di rumah sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan susulan.
“Selain itu, seramai 205 kematian daripada jumlah keseluruhan hari ini, adalah mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tempat kerja mencatatkan jumlah kluster COVID-19 terbanyak iaitu 20 kluster daripada jumlah keseluruhan 26 kluster, diikuti lima kluster komuniti dan satu kluster pendidikan lain.
Beliau berkata, Johor menjadi penyumbang terbesar kluster tempat kerja iaitu enam kluster, empat di Selangor, tiga di Perak, dua di Kelantan manakala Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak, masing-masing satu kluster.
“Kluster komuniti pula melibatkan tiga di Kelantan dan dua di Sarawak manakala kluster pendidikan lain, satu di Selangor,” katanya.