30 OGOS : Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disahkan dijangkiti wabak COVID-19.
Justeru, Mohd Alamin mengesahkan tidak dapat hadir mengangkat sumpah jawatan itu pada petang ini di Istana Negara.
Beliau berkata, dirinya kini sedang dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan kesihatan dirinya dalam keadaan yang baik dan stabil.
“Minta semua doakanlah ya kesembuhan saya, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara jam 2.30 petang ini.
Dijangka turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia tersebut adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Selain itu, istiadat itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Barisan Kabinetnya.