31 OGOS : Kerajaan perlu bersedia untuk melaksanakan perubahan dan melakukan reformasi kepada Parlimen antaranya dengan mengadakan persidangan dewan rakyat secara hibrid.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan harus lebih kreatif dan terbuka untuk memberikan platform yang lebih proaktif kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menurut beliau, perkara itu perlu dalam usaha menjadikan peranan Parlimen lebih efektif selari dengan kemodenan sistem yang berlaku dalam negara dan seluruh dunia.
“Saya lihat di negara luar, parlimen hibrid dianggap perlu sebagai Pelan B. Dalam negara kita, benda-benda pelik bin ajaib berlaku.
“COVID-19 selalu menjadi penyebab kepada banyak keputusan yang menyebabkan Parlimen ditutup dan sebagainya,” katanya dalam program bertajuk ‘Ground Zero: Kemana Hala Tuju Reformasi Parlimen?’ yang disiarkan menerusi dalam talian, malam tadi.
Dalam pada itu, Azalina yang juga merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menafikan bahawa apabila Parlimen bersidang, ia berbeza dengan bersidang di luar dewan.
“Antara pindaan lain yang perlu dilakukan ialah berkenaan tentang aturan mesyuarat, susunan mesyuarat, risalat, tentang pertanyaan, usul penangguhan, mesyuarat tamat, bahasa dan pengundian yang merupakan antara aspek yang mencabar.
“Kita di Malaysia tidak ada undi proksi di mana seseorang itu tidak boleh mewakilkan undi kepada orang lain.
“Pindaan terhadap peraturan-peraturan ini harus dilakukan oleh kerajaan. Itu cabaran yang paling utama,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata, antara perkara lain yang perlu dipinda adalah tentang akta 347 yang merupakan akta paling sensitif berkenaan hak istimewa dan kuasa.
“Seperti yang anda tahu sebagai ahli Parlimen, apa yang kita cakap dalam Parlimen diberi imuniti di mana kita tidak boleh dituduh atas apa-apa kesalahan sekiranya kita membawa isu-isu yang dianggap seolah-olah seperti fitnah atau berbaur fitnah.
“Banyak pendapat membicarakan tentang Parlimen hibrid semua perkara ini perlu dilakukan secara bersama.
“Jika tidak, sekiranya kita bercakap menerusi dalam talian, kita boleh disaman tetapi dalam Dewan Rakyat kita tidak disaman. Itu senario yang perlu kita lihat,” katanya.