31 OGOS : Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sorotan bulanannya bagi Julai 2021 berkata, nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhannya meningkat sedikit kepada 1.7 peratus, didorong oleh segmen isi rumah.
Menurut Bank Negara, bank-bank akan terus menyediakan peruntukan tambahan bagi potensi kerugian kredit, yang kini berada pada kadar 1.9 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
“Bank-bank terus memberikan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara dalam keadaan prospek risiko kredit yang terus mencabar,” katanya.
Sistem perbankan terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai (LCR) terus utuh pada Julai.
“Kedudukan mudah tunai sistem perbankan terus menyokong aktiviti pengantaraan kewangan.
“Profil pendanaan bank-bank kekal stabil berikutan pertumbuhan deposit yang berterusan apabila individu, perniagaan dan institusi kewangan bukan bank terus menyediakan penampan wang tunai sebagai langkah berjaga-jaga,” kata BNM.