31 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pihak tertentu cuba merasuah doktor untuk meminta mereka mengeluarkan sijil vaksinasi tanpa memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada orang awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau memandang serius terhadap dakwaan orang ramai berkaitan kegiatan merasuah doktor atau mana-mana pihak bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.
“Perbuatan ini bukan saja melibatkan isu rasuah, tetapi ia menjejaskan reputasi profession pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.
“Setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebook rasmi SPRM hari ini.
Berikutan itu, Azam meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu supaya menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my.
Media semalam melaporkan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan media beberapa individu cuba merasuah doktor untuk mendapatkan sijil digital lengkap vaksinasi COVID-19 tanpa disuntik vaksin berkenaan.
Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu mewujudkan satu talian bebas untuk orang ramai membuat laporan berkaitan perkara itu.
“MMA amat bimbang dan mengambil serius laporan berkaitan isu berbangkit. Mereka didapati terbabit dalam kegiatan itu perlu didakwa mengikut undang-undang antirasuah.
“Kita juga ingin mengingatkan semua doktor mengenai tugas dan tanggungjawab untuk berpegang kepada etika tinggi sebagai pengamal perubatan,” katanya dalam kenyataan, semalam. – Oleh HAIKA KHAZI