31 OGOS: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Otai Reformasi dan Gabungan NGO Alam Sekitar Coalition of Environmental NGO (CEN) membantah tindakan kerajaan negeri Selangor menyahwartakan tanah seluas 536.7 hektar di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) untuk tujuan pembangunan.
Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail berkata, dengan kelulusan itu seolah-olah kerajaan Selangor tidak mengambil serius bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO Alam Sekitar.
Abdul Razak berkata mereka juga kesal apabila keputusan dibuat sidang Dewan Negeri November tahun lalu untuk pertahankan Hutan Simpan dilanggar.
“Otai kesal kerana pada sidang Dewan Negeri November tahun lepas, dewan telah meluluskan usul untuk pertahankan Hutan Simpan tersebut secara sebulat suara tanpa sebarang bantahan.
“Keputusan Kerajaan Selangor ini telah menafikan suara dan inspirasi rakyat Selangor yang prihatin dengan penjagaan hutan dan alam sekitar,” katanya ketika dihubungi portal berita FMT hari ini.
Abdul Razak berkata mereka juga kecewa dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana gagal menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari parti sendiri untuk menghalang nyahwarta hutan tersebut.
“Otai dan CEN telah menulis ‘surat rayuan’ untuk mendapatkan campurtangan Anwar pada April untuk menghalang nyahwarta tersebut tapi nampaknya Anwar ‘gagal untuk menasihati’ Menteri Besar dari partinya untuk lebih prihatin dengan desakan pelbagai pihak untuk menghalang nyahwarta hutan tersebut.
“Otai beranggapan Menteri Besar Selangor sedang bermain dengan api kemarahan rakyat Selangor dan kegagalan serta kelemahan Anwar untuk ‘bertindak tegas’ terhadap MB Selangor dari partinya sendiri memperjelaskan mengapa PH gagal mendapat ‘command majority’ dalam beberapa usaha menawan semula Putrajaya,”katanya.
Abdul Razak juga mendakwa berdasar maklumat diterima pihaknya tanah tersebut telah diserahkan kepada sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2 November 2020 dengan modal berbayar (Paid-up capital ) sebanyak RM1.00 sahaja.
“Otai berpandangan bahawa syarikat ini adalah syarikat ‘proxy’ (sebuah “syarikat tersedia” (shelf company) sahaja kerana semakan seterusnya didapati bahawa syarikat induk syarikat ini adalah sebuah syarikat balak terbesar di Asia berpengkalan di Sarawak,”katanya.
Sebelum ini media melaporkan Exco Alam Sekitar S, Hee Loy Sian semalam berkata, Kerajaan Selangor bersetuju menyahwartakan 536.7ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) untuk dibangunka.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.
Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat, Selangor mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.
Malah usaha untuk membangunkan tanah kawasan tersebut dibantah hebat NGO Alam Sekitar dan masyarakat Orang Asli.