31 OGOS: Altet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengotakan janjinya selepas menghadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen negara pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020, sempena Hari Kemendekaan Malaysia ke-64 sebentar tadi.
Kejayaan Ziyad bertambah manis apabila beliau bukannya meraih pingat emas acara lontar peluru F20, malah atlet berusia 31 tahun itu turut memecahkan rekod dunia miliknya menerusi lontaran pertama apabila mencatat 17.31 meter (m).
Bagaimanapun, atlet dari Ukraine, Maksym Koval memberi saingan apabila memecahkan rekod Ziyad dengan catatan 17.34m untuk ‘menolak’ sementara Ziyad di kedudukan kedua.
Namun, Ziyad enggan membiarkan pingat emas yang dimenanginya di Rio terlepas dari dakapan dan ‘menuntut’ semula rekodnya apabila melakukan 17.94m pada lontaran ketiga.
Kejayaan itu membolehkan ‘Super Ziyad’ mencetus sensasi – berjaya mempertahankan emas, menjadi pemilik rekod dunia F20 dan mengatasi catatan atlet normal, Adi Aliffudin Hussin yang memegang rekod kebangsaan dengan 17.54 meter serta meleburkan rekod Sukan SEA (17.74m).
Malah, dia muncul sebagai atlet pertama negara memenangi emas dalam dua temasya Paralimpik berturut-turut sekali gus menepati sasaran yang diletakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke atas dirinya.
Lebih manis, kejayaan ini pasti akan dikenang sampai bila-bila memandangkan Ziyad memenangi pingat emas itu pada tanggal Hari Kebangsaan, 31 Ogos.
Kejayaan itu membolehkan skuad negara menambah satu lagi pingat untuk menjadikan tiga pingat berjaya diraih kontinjen negara secara keseluruhan pada temasya itu setakat ini.
Sebelum ini, Bonnie Bunyau Gustin menyumbang emas pertama dalam acara powerlifting 72 kilogram (kg), Sabtu lalu disusuli rakan sepasukannya, Jong Yee Khie yang meraih perak dalam acara powerlifting 107kg.