31 OGOS: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, hari ini, menzahirkan keprihatinan baginda dengan berkenan mencemar duli berangkat meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera dilaporkan hilang ketika menjalani latihan di Kampung Bohor Baru di Bera, Pahang, Ahad lalu.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah di lokasi kejadian disambut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali bin Sulaiman, pada jam 3.45 petang tadi.
Seri Paduka Baginda, yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera (ATM), turut berkenan menerima persembahan taklimat oleh Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Ir. Wan Mohamad Zaidi Wan Isa.
Keberangkatan baginda hari ini adalah mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap rakyat, khususnya golongan yang memerlukan dan ditimpa musibah.
Dalam lawatan selama satu jam setengah ini, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa menyantuni keluarga mangsa dan menzahirkan rasa simpati Baginda kepada keluarga mangsa,.
Baginda juga menzahirkan harapan agar keluarga mangsa tabah dan sabar menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi Baginda kepada keluarga mangsa bagi mengurangkan beban mereka.
Untuk rekod Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, seorang anggota Tinjau dari Pasukan Kompeni PANDURA (Para), dipercayai lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 pada 29 Ogos lalu.
Eksesais Para Predator merupakan salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka dalam tempoh 14 hari melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia.