31 OGOS: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, melahirkan sedih dan kecewa berikutan kejadian pencemaran bau terus berulang dengan kes berlaku di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil sehingga menyebab 463 kawasan termasuk Putrajaya mengalami gangguan air tidak berjadual.
Berikutan itu Jalaluddin berkata beliau berharap penduduk dan pengguna sekitar Presint 1 hingga Presint 20 dan Taman Botani di Putrajaya bersabar dengan berita itu.
“Saya berharap Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dapat segerakan langkah-langkah kotigensi untuk membekalkan kemudahan air bersih segera kepada para pengguna dan penduduk yang menerima derita ini.
“Hal-hal sebegini melibatkan kebajikan dan kemudahan asas hidup tidak boleh dikompromi atau dibuat main-main. Semoga penduduk Wilayah Persekutuan tidak perlu menunggu lama disebabkan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kejadian henti tugas Loji Air Rawatan Sungai Semenyih, berikutan pencemaran air mentah di muka sauk Jenderam Hilir yang turut memberi kesan kepada penduduk di 23 kawasan dalam Wilayah Persekutuan.
Beratus ribu penduduk di 463 kawasan di lima wilayah di Selangor kini menghadapi masalah gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg. Semenyih) terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau.
Difahamkan gangguan berkenaan membabitkan 172 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata pencemaran bau yang telah dikesan membabitkan Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi tadi.
“Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.
“Berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.