1 SEPT : Jika dakwaan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) kononnya Perang Dunia Ketiga akan bermula di Sabah didapati mempunyai unsur menghasut dan boleh menimbulkan perasaan gusar serta takut di kalangan masyarakat, tindakan boleh diambil terhadap individu dan pengikut ajaran tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, agensi yang terlibat dan bertanggungjawab di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau kumpulan yang didapati melakukan kesalahan itu.
“Tindakan juga boleh diambil terhadap pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Kalau melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang contohnya undang-undang pencetakan, kita boleh ambil tindakan dari sudut itu.
“Kalau hasut sehingga menyebabkan orang ramai berasa tidak selesa dan cuba lari dari negara kita, itu sesuatu yang boleh menimbulkan perasaan gusar dan takut. Kita boleh ambil tindakan, mungkin melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya pada sidang media khas di KDN, di Putrajaya, hari ini.
Hamzah berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai tindakan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan ketua ajaran PMYT yang mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah yang rakaman videonya tular di laman sosial, baru-baru ini.
Terdahulu, menggunakan gelaran Sittah Annur, wanita berusia 39 tahun itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai dakwaan dan ramalan pelik.
Selain itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW serta merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.
Bercakap pada sidang media pertamanya selepas dilantik semula menerajui KDN, beliau memaklumkan, tindakan akan diambil terhadap semua yang terbabit, termasuk penjawat awam.
“Ada bermacam-macam manusia. Kalau orang yang keluarkan perkataan menakutkan, PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan ambil tindakan sewajarnya.
“Jadi kita tengoklah, terhadap pengikut (tindakannya) lain, yang menghasut pun lain, kita akan perhatikan tindakan mana yang wajar untuk diambil terhadap mereka,” katanya.
Sementara itu, mengulas berkenaan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), Hamzah berkata penambahbaikan syarat permohonan program itu dilakukan selepas semakan Jabatan Imigresen mendapati lebih 7,000 peserta program itu dipercayai tidak bermastautin di negara ini.
Beliau berkata, golongan ini hanya masuk dan datang ke Malaysia untuk tempoh yang singkat, iaitu semasa mendaftar permohonan dan semasa memperbaharui pas sahaja.
“Saya tahu ini (penambahbaikan) menimbulkan rasa gusar kepada mereka yang sudah mendaftar sebagai peserta MM2H. Jangan risau atau terganggu, saya beri jaminan akan melihat semula kedudukan mereka yang sudah menyertainya.
“Saya nak anda semua tahu, penambahbaikan kepada syarat permohonan dilakukan untuk memastikan hanya peserta yang berkualiti, ‘genuine’ dan benar-benar menyumbang kepada ekonomi negara layak menyertai program MM2H,” katanya.
Beliau juga turut memaklumkan kerajaan mengutip hampir RM150 juta melalui dua program Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bermula November tahun lalu sehingga 30 Ogos lalu dan program itu akan diteruskan sehingga 31 Disember ini.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH