Kerajaan beri tumpuan segera negeri penularan kes tinggi
1 SEPT: Kes kematian jangkitan COVID-19 mencatatkan penurunan dua hari berturut-turut kepada 278 kes berbanding semalam 282 kes.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah tersebut, ini menjadikan jumlah kumulatif kematian setakat negara dilanda wabak COVID-19 sebanyak 16,942 kes atau 0.96 peratus daripada keseluruhan kes.
Beliau berkata, jumlah baharu kes COVID-19 hari ini merekodkan penurunan iaitu 18,762 dan daripada jumlah itu, 330 kes iaitu 1.8 peratus merupakan pesakit kategori 3,4 dan 5 manakala 18,432 kes iaitu 98.2 peratus adalah kategori 1 dan 2.
“Selain itu, sebanyak 8,640 kes iaitu 46 peratus adalah mereka tiada sejarah vaksinasi manakala iumlah kes telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah sebanyak 4,706 kes (25.1 peratus) manakala jumlah kes lengkap vaksinasi pula sebanyak 5,416 kes (28.9 peratus).
“Jumlah kes yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ketika ini adalah seramai 1,007 orang termasuk dan 464 yang memerlukan bantuan pernafasan menjadikan kumulatif kes aktif sebanyak 265,274 kes,” katanya dalam sidang media perkembangan harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan yang sedang berdepan penularan kes COVID-19 yang tinggi akan diberi tumpuan segera dalam proses vaksinasi dan aspek pengukuhan kesihatan awam.
“Negeri ini bukan hanya akan menerima bekalan vaksin yang lebih tinggi tetapi juga sudah memulakan proses pemindahan tenaga kerja dan set perubatan dari negeri yang tidak lagi memerlukan set dan tenaga kerja berlebihan.
“Ini adalah usaha untuk memastikan kes harian dan bilangan mereka yang terpaksa dimasukkan ke hospital atau mengalami gejala serius serta kes kematian dapat dikurangkan di negeri itu dan untuk seluruh negara,” katanya.
Khairy berkata, langkah segera bagi pembendungan penularan itu adalah sama seperti yang dilaksanakan melalui Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley yang dipengerusikan Chee Keong.
Sementara itu, mengenai tambahan enam juta dos vaksin COVID-19, beliau memaklumkan, bekalan berkenaan adalah bagi tujuan stok penimbal dan pihaknya akan mempertimbang bila akan menggunakannya.
“Kini kita tahu peruntukan itu ada. Ketika ini, vaksin yang dijadualkan bagi September mencukupi, namun jika ada kekurangan dan berlaku gangguan bekalan, kita akan menggunakan bekalan berkenaan.
“Untuk bulan ini, sebanyak 15.16 juta dos vaksin akan diperuntukkan ke negeri dan negeri yang menerima paling banyak vaksin adalah Johor (1.9 juta dos), Kedah (1.3 juta dos), Kelantan (1.2 juta dos), Pahang (1.4 juta dos), Perak (1.6 juta dos), Pulau Pinang (sejuta) dan Sabah (2.9 juta dos),” katanya.