1 SEPT: Kerajaan hari ini mengumumkan empat lokaliti di Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Jumaat ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata empat lokaliti bakal dikenakan PKPD berkenaan termasuklah Perumahan Pekerja Ladang Mayvin 2, Telupid.
Beliau berkata turut dikenakan PKPD ialah Kampung Tagaroh, Kota Marudu; kilang dan kuarters Kilang Papan Cargo Timber dekat Kampung Biah, Keningau serta Kampung Dumpiring Bawah dekat Ranau.
“Keputusan itu dibuat selepas MKN meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.
“Bagaimanapun, semua prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi berkata MKN juga mengumumkan penamatan PKPD di satu lokaliti di Johor dan empat kawasan di Sabah mengikut jadual, mulai esok.
Rodzi berkata, penamatan itu diputuskan selepas pihaknya meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa.
“Di Johor, ia membabitkan Ladang Sungai Kahang dekat Kluang, manakala di Sabah pula Kampung Tanjong Pagar, Sipitang; Kampung Padang Tembak, Keningau; Kampung Jawa, Tawau dan Setinggan Kampung Baru Luyang, Penampang,” katanya.