2 SEPT: Taliban mempamerkan sebahagian peralatan tentera yang dirampas pada perarakan meraikan kejayaan mereka menguasai Afghanistan semalam.
Pada masa sama, sumber memberitahu AFP bahawa sebuah pesawat Qatar Airways mendarat di Kabul selepas tentera AS berundur dari Afghanistan pada Isnin lalu.
Katanya, pesawat itu membawa sepasukan pakar teknikal untuk membantu usaha memulihkan lapangan terbang terbabit.
Sasarannya ialah untuk membolehkan ketibaan pesawat membawa bantuan, selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Afghanistan bakal berdepan ‘malapetaka kemanusiaan’.
Rundingan sedang dijalankan mengenai pihak mana yang akan mengendalikan lapangan terbang itu.
Pengendalian lapangan terbang tersebut antara cabaran menanti Taliban selepas mengambil alih kuasa pentadbiran.
Dalam pada itu, deretan Humvee hijau bersama kenderaan tempur berperisai, berarak di sepanjang lebuh raya di luar Kandahar dengan orang ramai mengibarkan bendera Taliban berwarna hitam dan putih.
Sebuah helikopter juga terbang mengekori perarakan kumpulan pejuang Taliban berkenaan.
Sekurang-kurang sebuah helikopter Black Hawk dilihat terbang di ruang udara Kandahar dalam tempoh beberapa hari lalu, yang menunjukkan kemungkinan seorang bekas tentera Afghanistan mengemudinya berikutan Taliban kekurangan juruterbang berkelayakan.
Khabar angin yang tersebar menyatakan pemimpin agung Taliban, Hibatullah Akhundzada akan muncul tetapi ia tidak menjadi kenyataan, sekali gus menyaksikan gabenor baharu bandar itu tampil menyampaikan ucapan kepada khalayak ramai.