2 SEPT: Kerajaan dicadangkan agar melaksanakan pemilihan Ahli Dewan Negara menerusi undi popular bagi mengembalikan peranannya dengan lebih berkesan sepertimana yang dilakukan di Senat Amerika Syarikat.
Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ilyas Abdullah berkata, calon ahli Dewan Negara yang mewakili negeri boleh bertanding atas tiket parti politik, manakala calon bukan ahli politik boleh menawarkan diri atas tiket kepakaran masing-masing mengikut kawasan pilihan raya yang bakal diwujudkan khas untuk Dewan Negara.
Menurut beliau, peranan Dewan Rakyat dan Dewan Negara harus diteliti semula jika kerajaan bertekad dan benar-benar untuk melakukan reformasi Parlimen.
“Cita-cita asal Dewan Negara adalah untuk memastikan kepentingan negeri tidak disisihkan dalam apa jua keputusan Kerajaan Persekutuan selain bertindak sebagai forum orang-orang awam yang berpengalaman memanfaatkan kebijaksanaannya untukmenyelesaikan persoalan-persoalan penting rakyat yang dihadapi negara.
“Namun, ahli Dewan Negara yang mewakili negeri jarang menggunakan kedudukannya sebagai medan berhujah antara kerajaan pusat dan negeri. Ahli Dewan Negara dikatakan tidak mengundi mengikut sebagaimana aspirasi negeri tetapi lebih mengikut pandangan parti politik,” katanya menerusi kenyataan kepada PNBBC Portal, hari ini.
Ilyas turut memaklumkan Dewan Negara sepatutnya kembali kepada tujuan asalnya dengan melantik individu yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong telah berbuat jasa kepada negara mengikut bidang kepakaran masing-masing.
“Tetapi kelompok tersebut tidak ramai yang diberikan tempat sebaliknya cenderung melantik orang-orang politik ke Dewan Negara. Dewan Negara adalah Dewan tertinggi tetapi dalam bidang kuasa legislatif dewan tersebut mempunyai kuasa yang terhad.
“Hal ini kerana lantikan ahli Dewan Negara tidak dianggap sebagai mewakili suara rakyat sebagaimana ahli Dewan Rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Ilyas berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti juga wajar disegerakan yang merupakan satu keperluan disebabkan perlembagaan yang dibentuk seawal negara mencapai kemerdekaan tidak mewujudkan akta antilompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.
Bahkan, Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Pahang, Kampus Raub berkata, tindakan itu dijadikan asas lanjut bahawa demokrasi sebenarnya mengizinkan anggota parlimen untuk berbuat demikian.
“Bagaimanapun, sekiranya Parlimen ingin bergerak menjadi badan perundangan kelas pertama, tindakan melompat parti tidak patut dijadikan amalan ahli Dewan Rakyat.
“Selepas dipilih rakyat dalam pilihan raya, tindakan melompat parti jelas membelakangkan amanah diberikan pengundi. Tindakan itu boleh dianggap pengkhianatan terhadap demokrasi seterusnya merosakkan imej Parlimen itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun atau ‘Undi18’ juga wajar disegerakan.
Beliau berkata, ini kerana menidakkan hak generasi muda terbabit dalam pilihan raya sama ada sebagai calon atau pengundi, seolah-olah menentang aspirasi generasi muda dan mereka harus diberikan ruang menempatkan diri dalam politik untuk menunjukkan kemampuan mengurus hal ehwal berkaitan rakyat dan negara.
“Golongan itu harus berada dalam lingkaran kuasa dengan menjadi sebahagian daripada pihak terbabit dalam proses mempengaruhi dasar awam, di samping meneruskan semangat dan dasar perjuangan melalui cabang legislatif secara intelektual dan matang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH