3 SEPT : Selepas mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor akan melakukan semakan dan pertimbangan semula terhadap penyahwartakan tanah Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 536.7 hektar atau bersamaan 1,326.33 ekar tanah.
Keputusan ini diambil setelah pengerusi parti-parti komponen PH mengadakan pertemuan dan berbincang terhadap perkara itu yang telah mendapat tentang pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.
“Semua pihak telah menyatakan pandangan dan keprihatinan masing-masing serta telah bersetuju supaya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membawa isu ini dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 8 September ini untuk dipertimbangkan halatuju dan keputusan dalam isu ini, “kata PH menerusi kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PKR Selangor, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Deo Singh dan Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim
Pada masa yang sama, ketiga-tiga mereka memaklumkan bantahan terhadap cadangan lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) turut akan diberi perhatian dan dibincangkan dengan panjang lebar.
“PH Selangor ambil maklum bahawa PJD Link belum diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Mesyuarat juga turut bersetuju menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek lebuhraya KIDEX atau seumpama dengannya.
“Pengerusi-pengerusi parti komponen Pakatan Harapan (PH) Selangor komited dalam menjunjung semua prinsip-prinsip asas Pakatan Harapan berkaitan alam sekitar dan agenda kepedulian rakyat sebagai pedoman dan panduan dalam setiap perancangan pembangunan negeri,” kata kenyataan itu.