3 SEPT: Kerajaan mungkin akan memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk membenarkan aktiviti rentas negeri dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan membawa cadangan untuk dibincangkan bersama dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan datang berdasarkan penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).
Justeru, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, rakyat diminta bersabar dan memberi sedikit masa untuk kerajaan membuat keputusan sewajarnya.
“Saya sudah bincang perkara ini dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan kita sedang mengemukakan beberapa cadangan, jadi kita akan bawa ke MKN dalam masa terdekat.
“Ada harapan (rentas negeri), tetapi saya minta sabar sekejap lagi kerana ada beberapa negeri yang mana masih lagi nilai ambang vaksinasi rendah sedikit.
“Jadi akhir September ini kita menjangkakan, semua negeri akan sampai nilai ambang 60 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi. Bersabarlah, sedikit sahaja masa lagi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam perkembangan lain, Khairy mengesahkan KKM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat bagi membincangkan dasar mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan warga pendidik di negara ini.
Bagaimanapun, Khairy berkata pelaksanaan dasar baharu perlu diperhalusi dan diperincikan daripada pelbagai aspek termasuk implikasi undang-undang.
“Buat masa ini pendekatan pengambilan suntikan imunisasi COVID-19 masih berkonsepkan sukarela termasuk kepada warga pendidik sebagaimana dilaksanakan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Saya kena bincang dengan KPM sebab ada implikasi perundangan di sini, justeru ia perlu diperhalusi bersama Menteri (Datuk Dr. Radzi Md. Jidin), sama ada kita boleh wajibkan pengambilan vaksin secara ‘sectorial mandate’ (mandat mengikut sektor),” katanya.