4 SEPT: Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon menegaskan jumlah usul dikemukakan untuk menukar Yang Dipertua, Datuk Azhar Azizan Harun adalah urusan dalaman Dewan Rakyat.
Mohd Rashid yang mengesahkan perkara itu memaklumkan, ia juga tidak boleh diuar-uarkan secara terbuka dan semua pihak perlu merujuk kepada Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober ini.
“Maaf, tidak dapat beri makluman ini kerana ia urusan dalaman Dewan Rakyat. Tidak wajar diumumkan kepada media. Rujuk AUM,” katanya kepada media, hari ini.
Mohd Rashid berkata demikian bagi mengulas pendedahan Azhar semalam yang mengesahkan menerima usul untuk menukarkan beliau pada persidangan Dewan Rakyat akan datang namun tidak akan membuat sebarang keputusan atau campur tangan berkaitan usul terbabit.
Azhar menyerahkan keputusan mengenai kedudukan usul berkenaan kepada timbalannya, Mohd Rashid.
Amalan menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat biasa dilakukan apabila kerajaan baharu tertubuh dan Perdana Menteri baharu dilantik.