4 SEPT: Masalah capaian internet luar bandar perlu diatasi dengan segera terutama bagi melancarkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memahami cabaran pendidikan anak-anak di luar bandar dan masalah pencapaian internet perlu diberi perhatian.
“Capaian internet adalah satu keperluan, justeru dengan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak, saya yakin pencapaian internet kawasan luar bandar mampu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, seperti yang diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 1 September lalu, KPLB akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan semua pihak terlibat bagi menyegerakan penyelesaian masalah itu di kawasan luar bandar.
Abdul Rahman sebelum itu merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan dan Sambutan Bulan Kebangsaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Lipis Tahun 2021 secara dalam talian.
Mengulas berhubung program tersebut, Abdul Rahman berkata, penganjuran bengkel melibatkan 130 ibu bapa kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) itu kena pada masanya.