4 SEPT: Malaysia masih lagi mengekalkan rekod kes sembuh COVID-19 tertinggi iaitu 21,582 kes yang berjaya melepasi kes baharu jangkitan COVID-19 iaitu 19,057 kes, setakat tengah hari tadi.
Jumlah kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) turut menunjukkan penurunan dua hari berturut-turut di bawah paras 1,000 kes iaitu 978 kes serta 460 memerlukan bantuan pernafasan iaitu mencatatkan penurunan di bawah paras 500 sejak 30 Ogos lalu.
Namun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kematian COVID-19 mencatatkan peningkatan dua hari berturut-turut apabila merekodkan 362 kes berbanding semalam 330 kes.
“Daripada 19,057 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 405 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Manakala sebanyak 18,652 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Secara keseluruhan, 8,544 kes (44.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada sejarah vaksinasi, 4,393 kes (23.1 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau telah menerima dua dos vaksin.
“Namun, tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua manakala 6,120 kes (32.1 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham mengesahkan kluster baharu menunjukkan penurunan apabila hanya merekodkan 16 kluster berbanding semalam 34 kluster dan daripada jumlah itu, 12 daripadanya adalah kluster berkaitan tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan lain.
Bagi kluster tempat kerja, beliau menjelaskan tiga daripada direkodkan di Selangor iaitu Industri Jalan Kampung Taib 2, Tapak Bina Baiduri Jaya serta Industri Jalan Tiga Olak manakala Industri Riang 21 serta Jalan Sekakap Mersing merupakan lokaliti di Johor.
“Di Perak, ada dua kluster baharu tempat kerja iaitu Jalan Baling Pengkalan, Sri Banding manakala selebihnya adalah di Jalan Jinjang 2, Kuala Lumpur; Industri Palong 17, Negeri Sembilan; Industri Gebeng 1/11, Pahang; Jalan Besar Rantau Panjang, Kelantan dan Jalan Semawang, Sabah.
“Kluster komuniti pula direkodkan di Kampung Gebeng dan Kampung Rahmat Hilir, Kelantan dan Kampung Atas Tol Terengganu manakala Kampung Pasir Akar di Terengganu merupakan kluster baharu pendidikan lain,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH