5 SEPT: Pemilihan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dilihat sebagai satu langkah tepat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berikutan pengalaman luas beliau semasa menerajui kerajaan selama 17 bulan dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkeyakinan pengalaman Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan mampu dimanfaatkan dalam usaha untuk membantu pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19, ia telah banyak menjejaskan ekonomi rakyat terutamanya terhadap golongan Bumiputera.
“Dengan itu, saya yakin Muhyiddin akan melihat secara menyeluruh masalah-masalah yang timbul ekoean pandemik ini bagi memulihkan kembali negara demi kelangsungan hidup semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Musa turut mencadangkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian antaranya pembukaan sektor ekonomi sepenuhnya tetapi dengan bersyarat.
“Sepertimana beberapa kelonggaran yang telah pun diumumkan kerajaan sebelum ini, saya harap pembukaan sektor ekonomi secara 100 peratus dengan syarat pekerja telah divaksin dua dos dapat dibenarkan, dan waktu bekerja selama 8 jam juga kembali dibenarkan.
“Menghadkan 60 peratus atau 80 peratus pekerja memberi kesan kepada peniaga untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.
“Ini termasuk memberikan kesukaran kepada majikan untuk mengira gaji pekerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya,” katanya.
Katanya lagi, pejabat-pejabat kerajaan juga hendaklah dibenarkan beroperasi penuh dengan syarat pekerja dan pengunjung telah lengkap dua dos vaksin.
“Sebagai contoh, temujanji untuk mendaftarkan kelahiran anak tarikh mengambil masa yang lama kerana waktu temujanji yang kosong hanya selepas dua bulan atau lebih. Anak lahir bulan Julai tapi tarikh temujanji untuk daftar kelahiran diberikan pada bulan Oktober atau November. Jadi perkara ini juga perlu diperhalusi oleh MPN,” katanya.
Wakil dari Pertubuhan Inspirasi Barathiyar (INBHA), V. Ganaprakash, pula, yakin gabungan antara Muhyiddin dan Ismail Sabri mampu memimpin negara keluar dari krisis COVID-19 dan memulihkan kembali ekonomi negara
“Fokus pemulihan negara harus diberi perhatian utama dan pastinya Muhyiddin dapat membantu kerajaan untuk melakukannya, di mana itulah pengalaman beliau ketika mentadbir kerajaan dalam menangani krisis pandemik COVID-19.
“Ismail Sabri pula memberi fokus pada urusan pentadbiran negara. Jika lantik orang baharu sebagai pengerusi MPN, mungkin akan ada masalah nanti, tercari-cari hala tuju.
“Jadi, saya yakin Muhyiddin adalah individu yang paling sesuai untuk menangani dan memulihkan negara dengan kerjasama barisan ahli MPN yang lain berdasarkan pengalamannya sebelum ini,” katanya.