7 SEPT: Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober depan bagi calon 2020 dan 2021 secara serentak, ditangguhkan ke 15 hingga 18 November.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan keputusan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh semalam.
“Ia bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin selain pusat peperiksaan melakukan persiapan secukupnya.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pelaksanaan UPKK berjalan lancar dan berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) optimis dengan usaha kerajaan ketika ini untuk menuju sasaran imuniti kelompok dan membuat ketetapan petugas peperiksaan yang mendapat dua dos lengkap vaksin sahaja dibenarkan bertugas di semua pusat peperiksaan.
Idris berkata, JAKIM sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa pandemik COVID-19 di negara ini khususnya aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan.
Beliau berkata JAKIM dengan kerjasama semua agensi menyediakan pelan tindakan demi untuk memastikan UPKK dapat dilaksanakan dan berjalan lancar.
Katanya, pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK juga dibuat mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan yang memutuskan sesi persekolahan untuk calon peperiksaan bermula pada 3 Oktober ini secara berperingkat mengikut perkembangan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).