9 SEPT : Satu pelan komprehensif akan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai pengoperasian sekolah dalam masa yang terdekat.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan pembukaan semula sekolah berjalan lancar.
Menurut beliau, bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas terhadap rancangan pembukaan semula sekolah, KPM giat melakukan sesi libat urus yang dilaksanakan secara maya.
“InsyaAllah, satu pelan komprehensif mengenai pengoperasian sekolah akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menerusi hantaran sama, Radzi hari ini memaklumkan mengadakan sesi libat urus bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin bagi membincangkan secara terperinci berhubung perkara berkenaan.
“Selesai libat urus bersama kumpulan pakar pagi tadi, saya teruskan mesyuarat bersama Khairy Jamaludin, berkaitan pembukaan sekolah. Terima kasih atas pandangan, cadangan dan maklum balas yang diberikan,” katanya.
Perbincangan itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN, Hamzah Ishak, pengurusan tertinggi KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Terdahulu, pagi tadi, Radzi mengadakan sesi libat urus bagi membincangkan perkara sama bersama kumpulan pakar berkaitan.
Sesi libat urus itu turut membabitkan perkongsian daripada pakar pelbagai bidang, antaranya bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud; pakar penyakit berjangkit negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; pakar psikologi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor dan pakar dasar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng.
“Kumpulan pakar yang dijemput adalah dalam kalangan pakar kesihatan awam, psikologi kanak-kanak dan pediatrik, ahli akademik, mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Guru Besar Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia.
“Semua dapatan perbincangan itu akan diperhalusi demi memastikan murid dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat,” katanya.
Radzi sebelum ini mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini namun tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan (PPN).