5 Lokaliti di Pahang, Sabah Dilaksana PKPD Mulai Ahad Ini
10 SEPT : Empat lokaliti di Pahang serta Kampung Kopungit di Kota Kinabalu, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 25 September.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, daripada jumlah itu, dua direkodkan di Perkampungan Orang Asli (OA) di Kuala Krai, Temerloh Pahang.
“Kampung OA yang terlibat adalah di Kampung Pasu dan Kampung Penderas serta selebihnya lokaliti yang akan dikenakan PKPD di Pahang adalah di POS Sinderut, Mukim Ulu Jelai, Kuala Lipis dan Felda Keratong 5 di Rompin, Pahang.
“Selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, PKPD akan dilaksanakan di lokaliti berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi memaklumkan, PKPD di lima lokaliti masing masing tiga di Kelantan dan dua di Sabah akan berakhir esok, seperti yang sudah dijadualkan.
“Lokaliti yang akan ditamatkan di Sabah adalah Kampung Debut di Ranau serta Kampung Tindai Kolopis di Penampang.
“Manakala di Kelantan pula, kesemua lokaliti yang ditamatkan adalah di Pasir Mas iaitu Kampung Bayan Lalang, sebahagian Kampung Banggol Semian serta sebahagian Kampung Repek di Mukim Gual Periuk,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH