12 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan untuk tahun ini akan dilanjutkan sehingga Mac 2022.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, murid akan kekal pada tahun persekolahan masing-masing pada bulan Januari dan Februari.
“Dalam tempoh dua bulan itu, sekolah akan gunakan bagi memberi bantuan, sokongan dan dukungan kepada pelajar yang lemah dan mengukuhkan pencapaian murid yang cemerlang.
“Ini merupakan anjakan baharu KPM dalam menangani masalah keadaan di mana sebahagian murid kita tidak dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan baik, kita dapat membantu mereka sebelum naik ke peringkat tahun yang seterusnya,” katanya pada sidang media pengoperasian sekolah di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Radzi memaklumkan meskipun sesi bersemuka sekolah bermula pada 3 Oktober ini, ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.
“Ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ibu bapa perlu menulis surat kepada sekolah mengenai perkara itu.
“Tidak akan ada surat amaran diberikan, tetapi ibu bapa hanya perlu menjelaskan mengenai ketidakhadiran itu. Perkara itu akan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) diberi kuasa menentukan tindakan lanjut, jika ada kes positif COVID-19 di sekolah, selepas pembelajaran bersemuka bermula pada 3 Oktober depan.
Radzi berkata, pentadbir sekolah perlu melaporkan segera kepada PKD sekiranya ada kes positif dan sebaik mendapat laporan itu, PKD akan menilai risiko bagi menentukan tindakan seterusnya, termasuk menutup sekolah bagi tempoh tertentu sekiranya perlu.
“Sekolah perlu laporkan kepada PKD dan masukkannya dalam aplikasi data COVID-19 yang dibangunkan kementerian. Kemudian, PKD akan menetapkan tindakan seterusnya berdasarkan penilian risiko yang dilaksanakan.
“Saya ingin mohon jasa baik ibu bapa untuk memahami kami di Kementerian Pendidikan akan bekerjasama rapat dengan PKD. Apa saja nasihat daripada PKD akan kita laksanakan dan maklumkan kepada ibu bapa,” katanya.
Pada masa sama, Radzi turut berkata, semua kakitangan sokongan yang bertugas dalam sekolah pada satu-satu masa perlu divaksin sepenuhnya.
Menurut beliau, KPM sudah mengeluarkan arahan dalam konteks kebersihan dan keselamatan untuk memastikan semua pekerja sudah divaksin.
“Seperti dinyatakan sebelum ini, guru yang belum divaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka kerana kita ingin menekankan keseluruhan ekosistem sudah mendapat vaksinasi.
“KPM juga sudah mendapatkan senarai pemandu bas daripada Kementerian Pengangkutan, dalam masa yang sama ibu bapa juga perlu membuat pilihan sewajarnya,” katanya.