14 SEPT : Semua Ahli Parlimen dan pegawai bertugas di sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat yang bermula semalam hingga 26 Oktober ink diwajibkan menjalani ujian RTK berkala pada setiap hari Isnin dan Rabu ssbagai langkah mengawal penularan COVID-19.
Menurut Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, saringan berkala itu hanya akan mengambil masa 20 minit dan ujian tersebut dijalankan di Dewan Bankuet dan Dewan Serbaguna, bangunan Parlimen.
“Pasukan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) akan berada di Parlimen untuk memastikan SOP sepanjang persidangan dipatuhi.
“Ahli Parlimen juga digalakkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka ‘face shield’ ketika dalam Parlimen.
“Pengurusan Parlimen juga sudah menambah baik sistem pengudaraan dan penyaman udara,” jelasnya ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan Ahli-ahli Parlimen melakukan sistem penggiliran ketika berada dalam dewan.
Selain perlu menjalani ujian RT-PCR, petugas media juga dihadkan pergerakan di dalam Parlimen dan hanya perlu berada di bilik media.
Sidang Parlimen hari kedua bermula pada hari ini dengan kebenaran masuk ke Parlimen bagi petugas media dan pegawai diperketatkan.
Sebelum bermulanya persidangan Dewan Rakyat semalam, pihak KKM telah menjalankan ujian saringan COVID-19 pada 10 dan 11 September sebagai langkah awal mengelak penularan jangkitan ketika masa bersidang.
Dalam ujian saringan tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham mengesahkan seramai 28 individu termasuk dua Ahli Parlimen dan seorang Senator disahkan positif COVID-19.
Beliau berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen manakala Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan.