14 SEPT: Menteri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kini menjalani kuarantin di rumah sehingga 20 September ini selepas menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengesahkan ujian PCR yang dilakukan pada Jumaat lepas (10 September 2021) dan Isnin (13 September 2021) adalah negatif.
Beliau berkata tindakan berkenaan adalah susulan sebagai mematuhi peraturan kesihatan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.
“Berikutan itu, saya tidak dapat menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang berlangsung semalam dan Sidang Dewan sepanjang minggu ini, serta menjalankan tugasan rasmi yang berbentuk fizikal.
‘Bagaimanapun saya masih boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan secara hibrid. Segala kesulitan adalah amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 28 individu termasuk dua Ahli Parlimen dan seorang Senator disahkan positif COVID-19 dalam ujian saringan yang dibuat sempena sidang Parlimen.
Beliau berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen manakala Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan.