14 SEPT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri.
Ismail Sabri berkata kerajaan berbuat demikian kerana Muhyiddin sudah memegang jawatan tersebut sejak MPN diwujudkan sekali gus kerajaan memberi kepercayaan kepada bekas Perdana Menteri itu menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Dari segi MPN yang dipengerusi Ahli Parlimen Pagoh, memang Ahli Parlimen Pagoh telah menjadi Pengerusi sejak mula MPN diwujudkan. Jadi oleh sebab itu kita beri kepercayaan kepada beliau untuk teruskan tugas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ismail Sabri memberikan jawapan berkenaan susulan tindakan pembangkang yang mempersoal kegagalan Ahli Parlimen Pagoh tersebut menerajui negara selama 17 bulan.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) apakah kewajaran melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN sambil mendakwa bekas perdana menteri itu gagal sebelum ini mengurus negara.
Pada 4 September lalu, Jemaah Menteri bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Mohd Zuki Ali.
Muhyiddin memaklumkan beliau menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.