14 SEPT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar kira-kira 23 tan ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke Afghanistan semalam.
Ia adalah bantuan kemanusiaan pertama yang tiba di lapangan terbang Kabul sejak operasinya terjejas 15 Ogos lalu.
Agensi Anadolu yag memetik kenyataan WHO melaporkan bantuan itu diterbangkan oleh penerbangan Qatar Airways sumbangan kerajaan Qatar, (AA).
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Qatar atas sokongan dan sumbangan itu, membolehkan WHO menampung semula bekalan dan memenuhi keperluan penduduk yang paling berisiko.
“Oleh kerana keperluan kesihatan meningkat di Afghanistan, kita harus bertindak pantas untuk mengatasi kekurangan bekalan perubatan agar perkhidmatan kesihatan dapat terus disediakan.
“Penerbangan kedua yang disumbangkan oleh Qatar dijangka tiba akhir minggu ini, membawa lebih banyak bekalan perubatan WHO,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua penghantaran itu mengandungi ubat-ubatan penting seperti insulin, kit pembedahan dan trauma, serta kit ujian COVID-19, akan membantu keperluan kesihatan mendesak 1.45 juta orang dan cukup untuk 5,400 pembedahan besar dan kecil.