16 SEPT: Kira-Kira 30,000 penjawat awam didapati masih belum mendaftar untuk suntikan vaksin COVID-19 setakat ini dan mereka diminta segera mendapatkan vaksinasi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, penjawat awam merupakan pelaksana dasar kerajaan, justeru amat penting untuk mereka mengamalkan dasar itu, termasuk berkaitan program vaksinasi negara.
“Kita adalah penjawat awam yang menerima arahan dan dasar kerajaan, jadi apabila diarahkan vaksinasi ini, kita kena vaksinlah,” katanya selepas menyerahkan sumbangan tiga unit respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar hari ini.
Beliau berkata, ketua jabatan perlu memainkan peranan penting memberi penjelasan sebaik mungkin mengenai kepentingan mengambil vaksin sekali gus membantu usaha kerajaan ke arah mencapai imuniti kelompok sebelum 2022.
“Pendekatan yang patut diambil ialah berjumpa dengan semua mereka yang diketahui tidak menerima suntikan vaksin ini dan (ambil) tahu apa masalah mereka di lapangan,” katanya.