16 SEPT: Satu jawatankuasa khas perlu dibentuk antara badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk mengkaji dan memberi maklum balas Pulau Langkawi sebagai projek rintis bagi pembukaan sektor pelancongan domestik.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ia perlu ditubuhkan bagi tujuan bersama demi memperbaiki kekurangan serta mutu perkidmatan projek rintis itu.
Pada masa sama, berdasarkan tinjauan, beliau berpandangan proses saringan COVID-19 RTK perlu diperkemaskan dan sentiasa bersiap siaga bagi menerima penumpang yang akan berlepas ke Langkawi bagi tujuan pelancongan.
“Saya sendiri telah mengalami pengalaman sebagai penumpang projek perintis ini, dengan mengambil peluang untuk meninjau dengan lebih dekat mengenai prosedur dan tatacara bagi gelembung pelancongan domestik.
“Semasa di lapangan terbang KLIA, saya terpaksa melalui proses saringan kesihatan COVID-19 RTK yang hanya dimaklumkam pada lewat petang semalam. Ini sedikit sebanyak telah melambatkan proses daftar masuk penumpang ke pesawat,” katanya menerusi kenyataan kepada PNBBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Khalid memaklumkan pihaknya melihat cahaya kembali bersinar buat penggiat industri pelancongan di Langkawi yang rata-ratanya menyambut baik projek perintis bagi sektor pelancongan domestik negara.
“MATA berterima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri, warga MOTAC dan Warga Tourism Malaysia yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan projek perintis ini,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan setiap penumpang ke Langkawi bagi tujuan pelancongan hendaklah menyediakan bukti tempat penginapan yang telah ditempah manakala permit rentas negeri diperlukan semasa daftar masuk penumpang bagi tujuan bukan pelancongan.
“Jika tanpa bukti ini, anda tidak akan dibenarkan meneruskan penerbangan anda ke Langkawi. Anda juga hendaklah memastikan bateri telefon bimbit anda sentiasa penuh bagi menunjukkan status kesihatan MySejahtera anda.
“Anda tidak dibenarkan masuk ke Langkawi sekiranya bukti-bukti ini tidak disediakan. Bagi penggiat industri pelancongan di Langkawi, saya menasihati agar mereka ini sudah lengkap divaksinkan, patuhi SOP yang disediakan.
“Selain itu, penggiat industri pelancongan juga perlu sentiasa siap sedia memberi pekhidmatan yang terbaik bagi setiap pengunjung yang datang ke Langkawi,” katanya.
Dari segi tempat penginapan pula, Mohd Khalid menyarankan agar penggiat industri pelancongan lebih bersedia untuk menerima tetamu mereka dengan menampilkan kesungguhan menerima tetamu didalam projek perintis ini.
“Penggiat Industri Pelancongan berlu lebih bersedia untuk menerima tetamu mereka dengan menyediakan minuman selamat datang, penyambut tetamu yang lengkap berseragam
“Hari ini adalah hari pertama bagi projek perintis gelembung pelancongan
domestik,saya percaya maklum balas yang diberikan ini akan disambut dengan hati terbuka oleh setiap pemain industri pelancongan di Langkawi serta dapat memperbaiki segala kekurangan yang ada ketika ini, ” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH