17 SEPT: Malaysia menggesa negara anggota Komanwel supaya menjalinkan rantaian kerjasama dalam usaha pemulihan COVID-19 melalui diplomasi kesihatan selaras dengan prinsip ketelusan dan tadbir urus baik.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pengedaran vaksin Covid-19 secara adil, mudah diakses dan dengan harga yang berpatutan juga penting bagi semua negara Komanwel.
Saifuddin berkata terdapat juga keperluan sektor awam dan swasta untuk terus menggunakan teknologi digital yang telah digunakan secara meluas semasa perintah berkurung.
“Negara Komanwel juga dicadang mengambil tindakan secara kolektif dalam usaha mengurangkan jurang digital di antara negara maju dan membangun,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Ke-21 Menteri-Menteri Luar Negeri Komanwel secara maya hari ini.
Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri tersebut dipengerusikan oleh Menteri Wanita dan Kesaksamaan dan Setiausaha Luar, Hal Ehwal Komanwel dan Pembangunan United Kingdom yang juga merupakan Pengerusi Komanwel, Elizabeth Truss.
Dalam mesyuarat berkenaan Saifuddin juga turut mengimbas kembali Deklarasi Langkawi mengenai Alam Sekitar yang dipersetujui oleh Ketua-ketua Negara Komanwel pada 1989, bertujuan melindungi alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim.
“Negara Komanwel juga perlu komited dan terus memperjuangkan isu-isu perubahan iklim menjelang Persidangan ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26),” katanya.