17 SEPT : Kerajaan Negeri Sarawak akan mengambil pendekatan menerusi semangat ‘Keluarga Malaysia’ dalam rundingan berkenaan hak-hak negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada tiga wilayah harus mengutamakan semangat hormat-menghormati sambil mengiktiraf hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, dalam perjalanan selama 58 tahun penubuhan Malaysia terdapat perkara-perkara yang belum dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan MA63 yang harus dibawa ke meja rundingan.
“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sudah mengadakan rundingan sejak 2015 lagi dan rundingan akan terus diadakan. Saya berharap inisiatif untuk terus berunding mengenai MA63.
“Ini seperti terkandung dalam Memorandum Persefahaman Transformasi Kestabilan Politik (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dan pembangkang pada 13 September lepas akan membawa kepada hasil menang-menang kepada negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021 peringkat negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, malam tadi.
Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak pada tahun ini diadakan dalam norma baharu dan disiarkan secara langsung.
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, menjadi tetamu kehormat pada majlis itu yang turut dihadiri menteri-menteri negeri.
Dalam pada itu, Abang Johari memaklumkan sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau berharap agar “Keluarga Malaysia” yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah akan terus diperkukuhkan bagi mencapai kestabilan dan kemajuan.
“Sebagai Ketua Kerajaan Sarawak, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus berusaha mengembalikan mana-mana hak Sarawak yang terhakis melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus menunjukkan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat di Sarawak,” katanya