18 SEPT: Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKVSTF) ditamatkan pengoperasian bermula hari ini selepas ia ditubuhkan selama 41 hari bagi memperkasakan usaha-usaha di bawah pasukan tersebut.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penamatan pasukan bertindak khas itu telah mendapat persetujuan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut beliau, ini juga mengambil kira situasi pandemik di Lembah Klang yang menunjukkan perkembangan positif yang mana jumlah kes harian mulai menurun, kapasiti hospital semakin terkawal dan jumlah yang telah lengkap vaksin juga semakin meningkat.
“Dengan penamatan operasi GKV STF Tentera Darat ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menumpukan terhadap pelbagai lagi pengoperasian berkaitan COVID-19 di seluruh negara.
“Ia antara lain termasuklah mendirikan lebih banyak Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang dikenal asti oleh KKM dan menambah tim Combat Medic Vaccination Team (CMVT).
“Ini bagi membantu KKM melaksanakan pemberian vaksin khasnya di kawasan pedalaman; serta meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin memaklumkan penglibatan anggota Tentera Darat Malaysia dalam GKVSTF sangat efektif dan memberi impak yang besar sekali gus amat membantu KKM dalam menangani situasi berkaitan COVID-19 di semua hospital di Lembah Klang terutama ketika kemuncak krisis tempoh hari.
Melalui pengoperasian ini, beliau menegaskam TDM telah mengatur gerak 1,080 anggota bagi melakukan pelbagai jenis penugasan di dalam kawasan Zon Merah COVID-19 di hospital-hospital di Lembah Klang yang merangkumi tiga perkara utama.
“Pertama adalah menugaskan Oxygen Carrier Team (OSCAR) bagi membantu proses mengangkat, mengisi semula dan menukar ganti sebanyak 14,258 silinder oksigen dalam memastikan bekalan oksigen kepada pesakit tidak terputus, malah membolehkan petugas KKM lebih menumpukan terhadap tugas-tugas perawatan yang lain.
“Selain itu, kita turut menempatkan Rapid Resupply Team (RRT) bagi membantu dalam proses pengambilan dan pengedaran peralatan-peralatan perubatan yang kritikal seperti katil, Oxygen Concentrators dan Ventilators ke semua hospital yang memerlukan. Dengan adanya RRT, proses tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar kepantasan dan koordinasi yang optimum.
“Yang terakhir adalah mengatur gerak Body Management Team (BMT) yang telah membantu mengurus 4,442 mayat pesakit COVID-19. Penglibatan pasukan ini membolehkan urusan pengendalian mayat dipercepatkan terutama ketika kemuncak krisis pandemik di Lembah Klang,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, tiada yang mudah bagi melaksanakan setiap operasi tersebut namun ATM tetap fokus dan memanfaatkan setiap kepakaran serta kemudahan yang dimiliki demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat di era COVID-19 yang mencabar ini.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua 1,080 anggota TDM yang terlibat dalam Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat atas kesanggupan bertugas sebilang masa, merisikokan nyawa dan berjauhan dengan keluarga demi menyelesaikan misi yang diamanahkan.
“Terima kasih juga semua anggota TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atas khidmat bakti, disiplin dan kesungguhan dalam membantu negara perangi COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH