19 SEPT : Lebih 10 juta jemaah menunaikan umrah sejak pelancaran prosedur ‘umrah selamat’ sejak 10 Ogos lalu, selain amalan harian dan ibadah secara normal dibenarkan secara beransur-ansur di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Menurut Kementerian Haji dan Umrah, pihaknya memberi jaminan akan terus berusaha untuk melindungi kesihatan dan keselamatan jemaah dan pengunjung masjid.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Abdulfattah Mashat, juga menggesa semua pihak mengikuti arahan dan mematuhi langkah pencegahan yang ditetapkan negara itu bagi mengekang penyebaran COVID-19.
Arab Saudi menyasarkan 3.5 juta jemaah dan pelawat mengunjungi dua masjid suci dalam tempoh sebulan dan setakat ini kapasiti ketika ini adalah 70,000 jemaah sehari.
Vaksinasi penuh adalah prasyarat untuk kebenaran kepada jemaah umrah dan jemaah lain yang ingin mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Permit dikeluarkan melalui aplikasi Tawakkalna. Pihak berkuasa kesihatan negara itu meluluskan pemberian vaksin untuk individu berusia 12 tahun ke atas.
Kawalan dan syarat untuk kedatangan jemaah termasuk sijil yang diakui mengesahkan imunisasi dengan vaksin diluluskan, dikoordinasikan dengan semua pihak berkuasa yang relevan dalam memastikan keselamatan jemaah.
Menurut pihak berkuasa, mereka secara berterusan memperbaharui senarai negara yang dibenarkan memasuki negara itu berdasarkan perkembangan pandemik dan petunjuk kesihatan.