19 SEPT : Lebih 18,295,014 individu atau sebanyak 78.2 peratus populasi dewasa di negara ini sudah menerima suntikan lengkap vaksin COVID-19 setakat semalam berdasarkan fakta yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi portal COVIDNOW.
Ia memperlihatkan perkembangan positif usaha kerajaan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan sejak 24 Februari lepas.
Jumlah individu dewasa yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin turut meningkat kepada 21,794,040 orang atau 93.1 peratus daripada keseluruhan penduduk berusia 18 tahun ke atas di negara ini.
Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mendahului jumlah populasi yang mencatat penerima vaksin tertinggi dengan 77.6 peratus daripada keseluruhan penduduknya sudah lengkap divaksin.
Ia disusuli Labuan (67.3 peratus), Negeri Sembilan (67.1 peratus), Sarawak (64.7 peratus), Perlis (59.2 peratus) dan Melaka (55.7 peratus).
Dua negeri pula masih kekal mencatat jumlah populasi lengkap divaksin di bawah 40 peratus, iaitu Sabah (38.4 peratus) dan Kelantan (36.7 peratus).
Kapasiti vaksinasi harian pula mencatatkan sedikit penurunan apabila sebanyak 232,559 dos vaksin diagihkan di seluruh negara semalam, berbanding 238,002 dos kelmarin.
Setakat semalam, sejumlah 46 peratus daripada lebih 40 juta dos vaksin yang diberikan adalah keluaran Pfizer, disusuli Sinovac (45.8 peratus), AstraZeneca (lapan peratus) dan vaksin satu dos Cansino (0.2 peratus).