19 SEPT: Kerajaan bercadang menaikkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion ketika ini kepada RM110 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata had itu akan ditingkatkan selepas menerima kelulusan Kabinet dalam masa terdekat.
“Had statutori hutang Kerajaan Persekutuan juga akan dinaikkan daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 65 peratus daripada KDNK.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk menolong rakyat dan perniagaan apabila ekonomi dibuka semula kerana sememangnya kita tahu, banyak peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro, terutama dalam sektor runcit dan pelancongan banyak terjejas,” katanya dalam temua bual bersama rancangan Optik@Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkata kerajaan juga sedang memberi fokus kepada pembukaan ekonomi terutama untuk tahun depan dengan seluruh ekonomi dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir tahun ini dengan norma baharu.
PPN ialah pelan yang dinamik dan kerajaan menggunakan data semasa yang terkini untuk membuat keputusan yang akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.
“Di sini juga kita akan menggunakan laporan terbaru yang bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa untuk kita membuat keputusan.
“Jadi apa yang kita dapat lihat, sebagai contoh, dos penggalak, kita akan membuat dos penggalak dalam masa terdekat. Perkara ini pun sudah diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.