19 SEPT: Lebih 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera berjaya diselesaikan oleh Kementerian Kesihatan, dalam tempoh seminggu lalu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata KKM mengambil maklum aduan individu yang tidak menerima sijil berkenaan di aplikasi MySejahtera, selepas menerima vaksinasi dos pertama atau dos kedua.
Beliau berkata, masalah itu dapat diselesaikan selepas pihaknya mengenal pasti beberapa punca dan KKM akan terus mengemas kini maklumat penerima vaksin.
“KKM menerima sebanyak 95,347 aduan berkaitan dengan pengguna MySejahtera yang antaranya berpunca daripada status penerima vaksin sebagai tanggungan, menyebabkan sijil vaksin digital individu terikat dengan pemilik akaun MySejahtera.
“Pemilik akaun perlu keluarkan akaun tanggungan bagi membolehkan tanggungan mendaftar akaun MySejahtera miliknya sendiri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, antara punca berlaku masalah ialah pemilik akaun MySejahtera tidak mengesahkan nombor kad pengenalan di dalam akaun mereka.
“Pengguna perlu mengesahkan nama dan kad pengenalan di bahagian Vaksin COVID-19 selain perlu melengkapkan soalan berkaitan maklumat kendiri.
“Terdapat juga pengguna mempunyai lebih daripada satu akaun MySejahtera. Sijil digital vaksin hanya akan dipaparkan di akaun MySejahtera yang diguna ketika menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.
Beliau berkata, KKM turut menerima sebanyak 71,408 aduan mengenai paparan sijil digital vaksin berpunca daripada PPV tidak melengkapkan proses dokumentasi, selepas individu selesai menerima vaksin.
Khairy berkata MySejahtera juga sedang membuat penyelarasan dengan PPV terbabit bagi memastikan pengguna akan merima paparan sijil digital vaksin di dalam aplikasi MySejahtera.
“Saya juga ingin mengingatkan petugas PPV supaya semak dan memastikan setiap penerima vaksin menerima sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera, sebelum mereka meninggalkan PPV.
“Selain itu, terdapat juga aduan daripada individu yang menerima vaksin di PPV bukan dikendalikan KKM dan ProtectHealth Corporation (Protect Health).
“Masalah ini berlaku kerana PPV ini tidak menggunakan sistem MySejahtera dan menyebabkan sijil vaksin digital tidak dapat dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera, sebaik sahaja proses pemberian vaksin selesai.
“Sijil digital itu hanya akan dipaparkan di dalam MySejahtera setelah PPV bukan kendalian KKM atau yang dikendalikan Protect Health menghantar maklumat kepada MySejahtera,” katanya.
Khairy berkata, bagi mengatasi kesulitan disebabkan ketiadaan paparan sijil digital, individu yang menerima lengkap vaksinasi boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal.
“Kad vaksinasi fizikal berkenaan adalah kad bercetak yang ditulis sendiri petugas kesihatan ketika individu mendapat suntikan di PPV.
“Saya minta agar semua premis menerima kad fizikal ini, jika individu yang sudah lengkap divaksin tiada paparan sijil vaksin digital,” katanya.