19 SEPT: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang kini mencapai hampir 80 peratus penduduk dewasa sudah lengkap divaksinkan mula menampak hasil positif.
Ini terbukti jumlah kes sembuh, 23,469 kes adalah mengatasi bilangan kes baharu dilaporkan hari ini iaitu sebanyak 14,954 kes disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan itu jumlah kes sembuh COVID-19 dilaporkan di seluruh negara sehingga hari ini menjadi 1,863,922 kes atau 88.9 peratus daripada 2,097,830 kes keseluruhanya.
Beliau berkata daripada jumlah 15,954 kes baharu dilaporkan hari ini 90.9 peratus atau 14,943 kes adalah kes jangkitan tempatan, manakala bakinya adalah 11 kes import.
“KKM juga mengesahkan bahawa seramai 1,194 pesakit kini memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 882 kes COVID-19; 312 kes suspected, probable, dan kes dalam siasatan.
“Sebanyak 665 kes pula memerlukan bantuan pernafasan termasuk 401 kes COVID-19; 264 kes suspected, probable, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata hanya 243 atau 1.6 peratus daripada 14,954 kes COVID-19 dilaporkan hari ini berada dalam kategori 3,4 dan 5, manakala 14,711 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan 19 lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di seluruh negara hari ini menjadikan kumulatif 5,282 kluster termasuk 3,934 kluster sudah tamat dan 1,348 kluster masih aktif.