20 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah menyalurkan dana berjumlah RM1.53 bilion tahun ini bagi meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi di Malaysia.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata keseluruhan bantuan subsidi dan insentif ini akan memanfaatkan kira-kira 300,000 pesawah di seluruh negara dengan mengurangkan kos pesawah sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran padi.
Berikutan itu, Ronald berkata seperti dicadangkan, kementerian sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur.
“Sebagai contoh, program bantuan output pertanian bersubsidi iaitu Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) juga dinaikkan daripada RM300 kepada RM360 bagi setiap satu tan padi bersih bermula Januari 2019.
“Ia bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PAS-Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berhubung peralihan pemberian subsidi berasaskan output dalam usaha meningkatkan padi negara, selain terus menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah.
Mengulas lanjut, Roland berkata pendekatan pemberian subsidi dan insentif bagi penanaman padi akan beralih daripada ‘input’ kepada ‘output’ secara beransur-ansur.
Beliau berkata industri padi dan beras negara antara yang paling banyak menerima peruntukan subsidi oleh kerajaan, demi memastikan pengeluaran makanan ruji itu berupaya menampung permintaan semasa.
Ronald berkata, pihaknya akan terus berunding dengan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung pelaksanaan pendekatan pemberian subsidi dan insentif berasaskan output yang bakal menggalakkan pesawah untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.
Katanya, pendekatan sedemikian dijangka berupaya mewujudkan persekitaran industri kawal selia kendiri secara beransur-ansur dan mengurangkan pembabitan serta pemantauan kerajaan di sepanjang rantaian pengeluaran padi.
“Bagaimanapun, sebarang pengurangan atau penarikan bantuan subsidi dan insentif input pertanian secara drastik adalah tidak disyorkan pada masa ini kerana ia akan menjejaskan pendapatan pesawah secara langsung.
“Malah, hasil kajian empirikal kesan subsidi ke atas pengeluaran padi dan pendapatan petani oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2019 menyatakan kedua-dua subsidi dan insentif berasaskan input serta output masih diperlukan untuk memastikan pulangan lestari kepada pesawah pada masa ini.
“Justeru, pendekatan ini akan dilaksanakan dengan perancangan yang teratur dengan mengambil kira semua aspek secara menyeluruh.
“Buat masa ini, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan input serta output, dengan menawarkan kontrak kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk membekal dan menghantar input pertanian bagi tempoh 1 Julai lalu hingga 31 Disember 2023 yang bernilai RM1.82 bilion,” katanya.
Kepada soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) berhubung langkah lain memacu kadar pengeluaran padi setara jumlah subsidi yang diperuntukkan, Ronald berkata, kerajaan menyediakan peruntukan mencecah RM4,317.23 bagi satu hektar sawah di negara ini bagi menjamin kelestarian industri berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mengakui industri pengeluaran padi dan beras negara menerima peruntukan subsidi yang sangat tinggi serta tidak mampu menampung permintaan domestik, menyebabkan Malaysia masih bergantung kepada bekalan dari negara jiran.
“Oleh kerana itu, kita lihat pendekatan baharu untuk tingkatkan hasil pengeluaran beras dan padi negara, selain menjana pendapatan pesawah yang akhirnya berupaya meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Kita akui kebanyakan kawasan jelapang ketika ini mengeluarkan sekitar 3.5 tan bagi setiap hektar sawah, manakala produktiviti sektor swasta pula mencecah 10 hingga 12 tan setiap hektar.
“Maka, perlu satu bentuk pengurusan sawah yang lebih berkesan dalam negara kita, menerusi pendekatan Sawah Berskala Besar (SBB) demi meningkatkan pengeluaran hasil padi dan beras negara,” katanya.