21 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk membuka tiga destinasi pelancongan dalam masa terdekat ini selepas kejayaan pada fasa gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah, yang bermula pada 16 September lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tiga kawasan pelancongan tersebut ialah Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands di Pahang yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19.
“Menurut beliau, keputusan itu akan dibawa ke Sidang Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok untuk diluluskan.
“Hari ini, kita telah meluluskan dan perkara ini akan dibentangkan lagi esok dalam sidang di mana kita telah menamakan tiga destinasi baharu dan ini bukannya eksklusif. Insya-Allah, kita akan memberikan lagi destinasi-destinasi yang lain setelah kita berbincang bersama.
“Insya-Allah, mungkin esok ditambahkan lagi namun diluluskan tiga setakat ini dan diberi tempoh dua minggu ini supaya destinasi-destinasi ini bersiap sedia membuka operasi mereka yang dijangkakan bermula 1 Oktober hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu di kawasan Parlimen yang dikongsikan menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Justeru itu, Nancy memaklumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) di samping akan menambahkan lagi destinasi gelembung pelancongan bukan setakat di pulau, malah di tanah besar.
Beliau berkata, walaupun SOP di kawasan tanah besar agar rumit kerana banyak tempat masuk di samping kawasannya yang luas, namun SOP akan diteliti sebaiknya bagi memastikan tiada mereka yang positif COVID-19 terlepas di dalam kawasan gelembung pelancongan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) mahu sepertimana dilakukan kepada Pulau Langkawi seperti senang dan beri contoh baik di mana semua kawasan masuk melalui feri dan kapal terbang perlu lakukan ujian saringan. Jadi, kita dapat menghalang kes positif di Langkawi.
“Kes (positif COVID-19) di Langkawi bukan dari pelancong namun dari penduduk di Langkawi. Jadi, walaupun telah ada SOP namun perlu diperhalusi khususnya di kawasan tanah besar dan permintaan untuk membukanya amat kuat,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran sama di Facebook miliknya, Nancy turut menyeru agar semua penggiat industri membuat persiapan sewajarnya bagi menerima pelancong.
“Pihak MOTAC sedang memperhalusi SOP kerjasama KKM seperti yang telah kita laksanakan ke atas Langkawi. Dalam hal ini, KKM meminta kita mengambil contoh Langkawi.
“Ini perlu dilakukan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pelancong dan penduduk di lokasi pelancongan tersebut terjamin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH