21 SEPT: Malaysia hari ini berjaya mencapai kadar 80 peratus populasi penduduk dewasa yang lengkap menerima imunisasi COVID-19.
Berita gembira itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitternya turut memberi kata-kata semangat untuk rakyat Malaysia meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19.
“Tahniah! Malaysia mencapai 80 peratus populasi dewasa negara telah lengkap divaksinasi,” katanya menerusi Twitter miliknya, hari ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang membalas ciapan berkenaan memaklumkan pihaknya sedang menjejaki 20 peratus lagi golongan dewasa yang belum atau enggan divaksinasi.
“Pada jam 1300hrs (1 petang) hari ini, Malaysia sudah mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi.
“Walaupun sasaran awal adalah 80 peratus populasi dewasa, sekarang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (@JKJAVMY) akan berusaha untuk menjejaki 20 peratus lagi yang belum atau enggan divaksinasi,” katanya.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.
Dalam pada itu, di Facebook rasminya, Ismail Sabri menyifatkan kejayaan itu adalah hasil pengorbanan para petugas barisan hadapan dan sokongan seluruh keluarga Malaysia.
“Hasil pengorbanan para frontliners dan sokongan jitu seluruh Keluarga Malaysia dalam mendapatkan vaksin, tidak mengira tua atau muda, baik yang di kota, juga yang di desa, kadar vaksinasi negara akhirnya telah mencapai 80% populasi.
“Tahniah ini adalah kejayaan kita semua,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH