22 SEPT: Malaysia masih mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengiktiraf Afghanistan yang dipimpin oleh Taliban.
Walaupun menyokong usaha perdamaian di Afghanistan tetapi Malaysia sehingga hari ini masih belum mengakui pemerintahan sementara yang dipimpin oleh Taliban.
Negara-negara seperti Rusia, China dan Pakistan telah menunjukkan sokongannya terhadap pemerintah sementara negara itu, bagaimanapun, persoalannya, adakah Malaysia harus mengiktiraf kepimpinan Taliban?
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Segambut, Mahathir Mohd Rais, berpendapat Malaysia harus mengambil pendekatan yang sama dalam membantu pembangunan semula pemerintahan sementara.
“Negara-negara tersebut berusaha menggunakan dorongan diplomatik dan ekonomi untuk memujuk Taliban menuju jalan pembangunan semula secara damai dan bukannya menggunakan kekuatan tentera.
“Justeru, Malaysia patut mengambil pendekatan serupa dengan menghantar pakar untuk membantu pemerintah sementara dalam aspek inklusiviti untuk mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan sehingga setiap peringkat masyarakat Afghanistan akan mencapai keamanan, keharmonian, pembangunan dan kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, usaha itu harus menekankan pentingnya peranan wanita dalam pentadbiran, bukan hanya dari segi perlindungan dan promosi hak-hak wanita, tetapi juga dari aspek peranan dan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara.
Kerajaan pimpinan Taliban pernah disingkirkan dari kekuasaan di Afghanistan oleh pasukan pimpinan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2001.
Namun, kumpulan itu telah menguasai negara itu sekali lagi pada 15 Ogos lalu dan mengakhiri hampir 20 tahun kehadiran pakatan pimpinan AS di negara itu.
Berikutan penangkapan Taliban di ibu negara Afghanistan, Presiden Mohammad Ashraf Ghani telah meninggalkan negara itu.
Pada 7 September lalu, Taliban mengumumkan pelantikan pemimpin veteran yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mullah Mohammad Hassan Akhund sebagai ketua kerajaan baharu dan pengasas bersama Taliban, iaitu Abdul Ghani Baradar sebagai timbalan.